Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Pejabat Ahli Parlimen Pekan mengagihkan 400 bungkusan kuih raya kepada penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan yang tidak berpeluang pulang ke kampung pada Aidilfitri hari ini.
Pegawai Khas Ahli Parlimen, Dato’ Nor Azita Abdul Rahman berkata, selain kuih raya pihaknya turut memberi ketupat segera bersama kuah kacang serta minuman susu segar.

Menurutnya, juadah berkenaan diharap dapat mengubat kerinduan 400 penuntut UMP kampus Pekan yang tidak berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing di kampung halaman.
Katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu, Pejabat Ahli Parlimen Pekan turut menyumbang makanan kepada penuntut UMP kampus Pekan bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Juadah raya yang diberikan sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan di kalangan penuntut yang terpaksa menyambut Aidilfitri jauh daripada keluarga, difahamkan rata-rata mereka kali pertama beraya di asrama bersama rakan-rakan.
“Kita simpati dengan penuntut terbabit yang pastinya kini sedang bersedih dan keputusan menyediakan juadah raya mendapat persetujuan Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Razak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan juadah raya kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Pewakilan Pelajar MPP) Kampus Pekan, Amir Zuhaili Abdul Karim, di sini, semalam.
Nor Azita menambah, pihaknya tidak pernah melupakan golongan penuntut yang datang dari seluruh negara untuk menuntut ilmu di daerah ini, pengorbanan mereka begitu bermakna untuk masa depan diri mereka dan negara.
Menurut Amir Zuhaili, dia bagi pihak penuntut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pekan yang sudi menyediakan juadah raya untuk kami yang tidak dapat pulang ke kampung
“Kuih raya dan ketupat yang disediakan dapat mengubat kerinduan keluarga di kampung, pengorbanan kami di sini dihargai,” katanya.