KUANTAN: Lebih 400 sukarelawan membabitkan 24 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini akan menyertai misi bantuan pasca banjir di Hulu Terengganu, esok.
Program anjuran Kerajaan Pahang melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang itu diselaraskan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN) dengan menumpukan kepada aktiviti menyampaikan pelbagai bantuan antaranya termasuk membersihkan rumah mangsa banjir.
Setiausaha Kehormat Sekretariat MAKPEN Salamon Ali Rizal Abdul Rahman, berkata misi pasca banjir esok akan diketuai Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak bersama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.
Katanya, lebih 15 tan metrik barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, susu, minyak masak dan biskut akan diagihkan kepada mangsa banjir di beberapa kampung tradisional di Hulu Terengganu.
Tambahnya, keperluan lain yang turut disediakan ialah periuk nasi, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, tuala wanita, air mineral termasuk pakaian.
“Misi bantuan pasca banjir di Hulu Terengganu esok adalah yang terbesar dianjurkan kerajaan negeri dengan penyertaan lebih 400 sukarelawan daripada 24 NGO di negeri ini.
“Pembabitan NGO yang turut menyediakan pelbagai bantuan suatu yang membanggakan semua pihak,” katanya, di sini hari ini.
Salamon Ali Rizal berkata, dua bas dan beberapa van digunakan untuk membawa sukarelawan dan program pelepasan konvoi misi bantuan pasca banjir Hulu Terengganu akan dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang pada 8 pagi esok di perkarangan bangunan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). – MOHD IMRAN IZZAD