404 Orang Asli terima lesen motosikal B2 

404 Orang Asli terima lesen motosikal B2 

BERA: Sekurang-kurangnya 404 Orang Asli di Bera dipilih untuk menerima lesen motosikal kelas B2 melalui Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di sini, hari ini.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, program BLKM amat signifikan dalam membantu masyarakat yang memerlukan, termasuk golongan B40 dan Orang Asli bagi mendapatkan lesen memandu yang sah.

Beliau berkata, calon hanya perlu membayar RM20 dan akan diberi latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen memandu.

Menurutnya, beliau bimbang apabila 14,308 kematian direkodkan di antara 2019 hingga 2021.

Ismail Sabri berkata, lebih membimbangkan apabila belia mencatatkan kes kematian tertinggi dengan purata 7,077 kes sepanjang tempoh yang sama.

“Statistik ini menunjukkan orang muda terdedah kepada risiko lebih tinggi apabila berada di jalan raya. 

“Kita boleh buat laluan khas motosikal tetapi kalau disiplin tidak ada, itulah yang menyebabkan berlaku kemalangan,” katanya berucap di majlis BLKM di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dato’ Zailani Hashim.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, usaha yang penting adalah mendidik pengguna jalan raya dengan penekanan kepada disiplin dan memperbanyakkan lagi program kesedaran dan libat urus bersama penunggang motosikal.