TEMERLOH: Sesi persekolahan di 41 sekolah di negeri ini terpaksa ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan, namun pembelajaran murid serta pelajarnya tetap diteruskan menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata langkah itu terpaksa diambil berikutan sekolah terbabit yang terdiri 33 sekolah rendah dan lapan menengah, terjejas akibat banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini.
“Malah, masih terdapat 13 sekolah yang masih digenangi air dan walaupun ada tujuh sekolah yang sudah kering sepenuhnya, ia masih belum boleh dbuka kerana kerja-kerja pembersihan dan penyediaan peralatan masih berjalan.
“Satu lagi sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 25, juga terpaksa ditunda pembukaannya kerana pelaksanaan PKPD di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Paya Taram di sini bagi meninjau kerja-kerja penyediaan peralatan sekolah berkenaan selepas dilanda banjir bulan lalu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang (Pengurusan sekolah), Mohd Azmi Othman.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, bagi memastikan pembelajaran semua murid dan pelajar di sekolah-sekolah terbabit tidak ketinggalan, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Kita ada pengalaman dan saya berani katakan, sesi pembelajaran murid dan pelajar terbabit tidak terjejas kerana warga didik kita mempunyai pengalaman selepas melaksanakan PdPR kerana Covid-19 dulu.
“Bagaimanapun ia tidaklah lama dan apabila sekolah-sekolah ini dah bersedia dibuka, mereka akan kembali belajar di sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya memindahkan sekolah yang berpotensi terjejas akibat banjir di negeri ini ke tapak baharu.
“Idea ini diilhamkan sendiri YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) dan seandainya dipersetujui, kita akan pindahkan sekolah yang sering dilanda banjir, ke tapak baharu yang selamat dan lebih tinggi.
“DI kawasan Kerdau ini sendiri terdapat tiga sekolah yang sering dilanda banjir iaitu SK Paya Ara, SK Paya Taram dan SK Pasir Mandi,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN