KUANTAN: Seramai 454 kelahiran direkodkan di kawasan Parlimen Paya Besar dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sekali gus melayakkan etiap bayi terbabit menerima insentif program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Dato’ Abdul Rahim Muda, berkata Pahang Pride Kid 2022 membuktikan keprihatinan Kerajaan Pahang menjaga rakyat bermula daripada bayi.
“Rata-rata ibu bapa bayi ditemui mengucapkan terima kasih pada Tok Wan (YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) yang memperkenalkan insentif Pahang Pride Kid ini.
“Malah, ramai yang bersyukur dan memuji pelbagai bantuan dan insentif disediakan sebagai bukti begitu caknanya kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penanaman Pokok Program Pride Kid (anak kebanggan Pahang) Parlimen Paya Besar di Dewan Dato’ Shohaimi Jusoh, Gambang, di sini, hari ini.
Inisiatif Pahang Pride Kid 2022 membabitkan bantuan bernilai RM200 meliputi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan bayi.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, di kawasan DUN Lepar, seramai 150 kelahiran direkodkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. – MOHD IMRAN IZZAD