KUANTAN: Kontinjen Pahang menyenaraikan 441 atlet yang akan bersaing pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur, September depan.
Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Zamri Hassan berkata, atlet Tok Gajah akan bersaing dalam 29 daripada 31 acara yang dipertandingkan.
Menurutnya, kontinjen Pahang akan diperkuatkan 140 pegawai terdiri daripada jurulatih, penolong jurulatih dan pegawai perubatan.
“Kita akan menyandarkan harapan untuk membawa pulang pingat dalam empat acara utama iaitu menembak, silat, memanah dan olahraga.
“Bagaimanapun, kita yakin atlet sukan lain turut mampu menyumbang pingat untuk kontinjen Tok Gajah,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, rekod pencapaian Pahang adalah di Sukma 2018 Perak apabila meraih 33 pingat emas, 20 Perak, 30 gangsa dan berada di tangga keenam.
Zamri berkata, semua atlet kini sedang giat mengikuti latihan pusat di bawah bimbingan jurulatih masing-masing. – MOHD IMRAN IZZAD