DIJANGKAKAN seramai 450 pemain dari seluruh negara termasuk kelab tempatan akan menyertai Kejohanan Badminton Kebangsaan Bawah 21 Tahun pada 25-29 Mei depan di Dewan Badminton Persatuan Badminton Pahang Indera Mahkota, di Kuantan.
Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Pahang, Muhamad Nor Omar, berkata kejohanan diadakan bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemairemaja.
Katanya, pemain remaja terbaik setiap negeri dan kelab dijangka menyertai kejohanan yang akan menjadi gelanggang pemanas badan seterusnya medan pemilihan pemain untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Selepas berehat panjang daripada menyertai sebarang kejohanan, pemain akan menjadikan kejohanan bulan depan sebagai gelanggang memulihkan semangat selepas lama tidak menyertai pertandingan peringkat kebangsaan.
“Kejohanan Badminton Kebangsaan Bawah 21 tahun ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selain beberapa penaja,” katanya.
Tambahnya, sudah lama Pahang tidak menjadi tuan rumah kejohanan remaja kebangsaan dan atas faktor itu, beliau mengharapkan peminat sukan badminton tidak melepaskan datang menyaksikan pertandingan berkenaan. – MOHD IMRAN IZZAD