KUANTAN: Sekurang-kurangnya 450 warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu menerima Kad Kesihatan Warga Emas Pahang, hari ini.
Penyerahan kad itu disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid, di Dewan Badminton Cenderawasih Timur.
Mustaffar Kamal berkata, kad bernilai RM500 itu diharap membantu golongan warga emas sekali gus meringankan beban kewangan mereka.
“Bagi pihak warga emas, inisiatif yang diberikan Kerajaan Pahang melalui keprihatinan YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) amat dihargai.
“Ia membuktikan kerajaan negeri mengambil berat dalam menjaga kebajikan kalangan warga emas terutama tahap kesihatan,” katanya.
Bagi inisiatif kad kesihatan yang diperkenalkan tahun ini, Kerajaan Pahang memperuntukkan kira-kira RM10 juta yang memberi manfaat kepada 18,000 warga emas di seluruh Pahang. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN