458 calon SPM 2021 yang dapat semua A diraikan Khamis ini

458 calon SPM 2021 yang dapat semua A diraikan Khamis ini

KUANTAN: Seramai 458 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 cemerlang di Pahang yang memperoleh keputusan semua A, akan diraikan di  Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, Khamis ini.

Mereka terdiri daripada semua pelajar Sekolah Menengah Agama Pahang, Maahad Tahfiz, Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata calon pelajar cemerlang itu bakal menerima insentif disediakan kerajaan negeri.

“Begitu juga sekolah cemerlang dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah memberi kerjasama terbaik dalam memastikan pendidikan anak-anak dilaksanakan sebaik-baiknya.

“Persetujuan ini telah dinyatakan sendiri oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail selepas menyampaikan sumbangan Batuan Prihatin Pahang (BPP) kepada pelajar anak Pahang di Sabah beberapa hari lalu.

“Sejumlah RM277,000 telah diperuntukkan bagi meraikan anak-anak dan guru-guru kita,” katanya.

Menurutnya, Pejabat Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Pahang telah meminta Yayasan Pahang membantu Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan MRSM bagi menyelaraskan program berkenaan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN