PEKAN: Sekurang-kurangnya 4,900 hektar sawah di daerah ini ditenggelami banjir yang menyebabkan kerugian kira-kira RM5 juta, minggu lalu.
Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris, berkata terdapat enam kawasan skim sawah yang diusahakan 2,200 pesawah ditenggelami banjir.
Katanya, kawasan terbabit adalah Skim Serandu, Skim Mambang, Skim Pulau Tambun, Skim Ganchong, Skim Pahang Tua dan Skim Merchong yang mengusahakan tanaman padi dua kali setahun.
Menurutnya, faktor hujan berterusan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan terbabit hingga mencapai setinggi kira-kira satu meter.
“Usaha kerajaan melalui IADA Pekan dan Jabatan Pertanian Pahang adalah berusaha mengumpulkan maklumat dan melakukan penilaian kerosakan sebenar padi di kawasan sawah yang banjir kini telah surut.
“Kita juga turut memantau berterusan kawasan yang masih ditenggelami banjir dan maklumat itu disalurkan secara berkala kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD