PEKAN: Sekurang-kurangnya 4,903 murid dan pelajar di 64 sekolah di daerah ini menerima bantuan set persekolahan Pahang Pride Student yang disediakan Kerajaan Pahang.
Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, bantuan awal persekolahan itu diberikan bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan belajar.
Menurutnya, set persekolahan Pahang Pride Student dilengkapi alat tulis, buku tulisan, botol air, kamus dan bekas mengisi alat tulis.
“Agihan bantuan berkenaan akan dilakukan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan 2022 bermula pertengahan bulan ini.
“Bantuan set persekolahan Pahang Pride Student bukti betapa prihatin Kerajaan Pahang dibawah pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa mengambil berat nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau sesi persekolahan yang ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cina, di sini semalam.
Mohd Razali berkata, murid dan pelajar yang menerima set persekolahan Pahang Pride Student turut layak menerima kad diskaun pelajar. – MOHD IMRAN IZZAD.