TEMERLOH: Kecewa dengan sikap ‘acuh tak acuh’ pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap mereka, seramai 50 ARMADA BERSATU Bahagian Temerloh mengambil keputusan meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO, malam tadi.
Tindakan itu dikepalai Ketua ARMADA BERSATU Temerloh yang juga Ketua Penerangan ARMADA Pahang, Muhammad Faharuddin Hashim dan tiga ahli jawatankuasa ARMADA bahagian, sekali gus melumpuhkan terus sayap pemuda BERSATU Temerloh itu.
Muhammad Faharuddin berkata, tindakannya dan 50 ahli terbabit tidak didorong sebarang habuan, sebaliknya atas kesedaran bahawa BERSATU tidak mempunyai hala tuju.
“Sebenarnya sudah agak lama saya dan rakan-rakan yang semuanya ahli aktif, memikirkan hal ini (keluar dari BERSATU) kerana pihak atasan (kepemimpinan parti) tidak pernah peduli kepada kami, bukan hanya sekarang, malah ketika memegang tampuk pemerintahan negara juga mereka tak cakna.
“Kami juga kecewa dengan cara pucuk pimpinan menangani masalah negara ketika pandemik COVID-19 lalu dan kami berasakan tindakan ini adalah terbaik,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Noor dan EXCO Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit.
Mengulas lanjut, Muhammad Faharuddin berkata, beliau dan rakan-rakannya berazam untuk bersama-sama Pemuda UMNO Temerloh membantu masyarakat setempat dan setia kepada UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail.
“Selepas ini kita akan bersama-sama bekerja, terutama bagi membantu golongan muda di Temerloh meningkatkan ekonomi masing-masing. Ada banyak peluang perniagaan yang boleh diteroka,” katanya.
Sementara itu, Azril Rizal Yusof menuji tindakan diambil Muhammad Faharuddin dan 50 Ahli ARMADA BERSATU Temerloh itu yang disifatkannya mampu menguatkan lagi kedudukan orang Melayu di daerah berkenaan.
“Mereka menyertai UMNO seikhlas hati tanpa menerima apa-apa ganjaran dan tidakan ini akan menguntungkan orang Melayu khususnya di Temerloh,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN