SERAMAI 500 peserta terdiri daripada masyarakat Orang Asli, mewakili daerah masing-masing bersaing pada Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Negeri Pahang sepanjang bulan ini bermula kelmarin.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata empat acara dipertandingkan iaitu menyumpit, sepak takraw, bola sepak dan bola jaring.
Katanya, tiga daerah menjadi tuan rumah setiap acara iaitu pertandingan menyumpit dan sepak takraw diadakan di Temerloh, bola sepak (Kuantan) dan bola jaring (Bera).
“Karnival ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat Orang Asli pelbagai suku kaum yang terdapat di Pahang.
“Sambutan diterima begitu menggalakan dan kini persiapan setiap daerah yang bertanding berada di peringkat akhir,” katanya, di Kuantan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan keputusan dalam pertandingan sebelum ini, setiap daerah mempunyai kelebihan pada setiap acara yang dipertandingkan.
“Sebagai contoh, Cameron Highlands lebih menyerlah dalam sukan bola sepak,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.