KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 pengunjung dan perwakilan UMNO termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan berkesempatan menjengah ke ‘dunia baru’ hasil ciptaan penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sepanjang empat hari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) 11 hingga 14 Januari lalu.
Dunia baru dimaksudkan ialah aplikasi realiti maya (VR) dilengkapi set peranti kepala dan tangan yang membolehkan pengguna bukan sahaja melihat, malah merasai alam digital itu.
Ketua Seksyen Teknoputra UniKL, Dr Bazilah A Talip, berkata rata-rata pengunjung yang mencuba aplikasi VR itu memberi maklum balas amat memberangsangkan.
“Mereka teruja dan tak sangka ada IPT (institusi pengajian tinggi) tempatan mampu membangunkan teknologi sebegini. Contohnya aplikasi laut dan kampung yang membolehkan orang bandar merasai suasana hidup di kampung.
“Kami juga mendapat maklum balas baik daripada Tok Mat (Mohamad) yang datang mencuba set VR ini pada hari kedua PAU, Khamis lalu,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang, Sabtu lalu.
Menurutnya, aplikasi yang dibawa ke pameran sempena PAU 2022 itu dibangunkan beberapa penuntut tahun akhir UniKL.
“Secara asasnya kami mengajar asas untuk pembangunan VR dan Metaverse sehinggalah ke peringkat lebih ‘advance’ (maju).
“Untuk ke hadapan ini, kami bercadang membangunkan dunia Metaverse untuk setiap 12 kampus kami di seluruh negara,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN