KUANTAN: Kira-kira 5,000 warga Kuantan ternyata puas menyaksikan dari dekat perarakan Hari Kemerdekaan ke-65 peringkat negeri Pahang selepas ia disambut secara sederhana akibat penularan COVID-19, tahun lalu.
Rata-rata datang seawal jam 7 pagi untuk memilih ‘port’ terbaik bagi menyaksikan sambutan yang diadakan Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4.
Dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, sambutan bermula jam 8.30 pagi selepas keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan EXCO Kerajaan Pahang.
Aturcara dimulakan dengan upacara menaikkan bendera Malaysia dan nyanyian lagu Negaraku yang dijayakan seorang pegawai dan lapan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang Kuantan dengan diketuai Leftenen Mohamad Faiz Ashaari.
Sambutan juga diserikan dengan deklamasi puisi oleh cucu Mat Kilau, Mohd Al Hamadi Abu Bakar diikuti persembahan gerak seni bela diri diketuai pesilat negara, Mohd Al Jufri Jamari.
Pengunjung turut dihidangkan dengan aksi pertunjukan udara jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menampilkan pesawat pejuang Sukhoi SU30MKM.
Sambutan kemerdekaan kali ini membabitkan perarakan 126 kontinjen yang merangkumi 3,102 orang. – FIKRAH PAHANG