KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan elektrik di 522 pencawang secara berperingkat di lapan daerah di Pahang susulan banjir besar, sejak 19 Disember lalu.
Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata, ia membabitkan 150 pencawang di Temerloh, Kuantan (145), Bentong (131), Lipis (65), Jerantut (15), Bera (7), Raub (7) dan Maran (2).
Katanya, TNB turut menyediakan sepuluh set generator iaitu lima di Pusat Pemindahan Sementera (PPS) di Kuantan, Temerloh (4) dan Lipis (1).
“Pencawang elektrik hanya akan kembali beroperasi apabila banjir surut sepenuhnya dan selepas itu proses membaiki kerosakan pula perlu dilakukan oleh kakitangan TNB.
“Penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya selepas banjir surut sepenuhnya di kawasan terbabit dan didapati selamat untuk berbuat demikian,” katanya, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD