537 mangsa banjir dipindahkan ke PPS 

537 mangsa banjir dipindahkan ke PPS 

KUANTAN: Hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan lima daerah di Pahang dilanda banjir dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 537 mangsa daripada 160 keluarga setakat 8 pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang memaklumkan Temerloh mencatatkan bilangan tertinggi dipindahkan ke PPS iaitu 380 mangsa diikuti Lipis (79), Jerantut (34), Bera (25) dan Raub (19).

Selain itu, dua sungai di Pahang turut melepasi amaran bahaya iaitu Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Triang, Bera.

Hujan dijangka pada sebelah petang di Kuantan, Pekan, Jerantut dan Rompin, manakala ribut petir akan melanda beberapa kawasan di Temerloh, Maran, Raub, Cameron Highlands, Bentong dan Bera.- BERNAMA