Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
JERANTUT: Dua ribu penduduk di Kuala Tahan yang kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan kira-kira 1.2 tan ikan patin yang diternak di Sungai Perlok, di sini.
Program bantuan prihatin itu anjuran Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris, bertujuan meringankan beban penduduk yang menetap di kawasan Taman Negara Pahang itu.
“Setiap keluarga mendapat dua ikan patin. Program juga bertujuan menolong penternak ikan di Kampung Perlok yang mempunyai stok ikan berlebihan kerana tidak dapat dijual.
“Oleh itu, ikan yang terlebih saiz (melebihi satu kilogram) ini kita bawa ke Taman Negara Kuala Tahan untuk diagihkan kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman, berkata pemberian ikan itu amat bermakna dan melegakan penduduk yang sedang menjalani PKPD.
Katanya, pengagihan dilakukan dari rumah ke rumah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang melibatkan agihan kepada kira-kira 550 keluarga di kawasan berkenaan.