CAMERON HIGHLANDS: Hutan Simpan Kekal (HSK) di Pahang kini keseluruhannya 1.6 juta hektar, termasuk penambahan 696.2 hektar dalam empat tahun sejak 2018.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu adalah 57 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan di Pahang ketika ini.
Katanya, sejak diamanahkan sebagai Menteri Besar Pahang pada 15 Mei 2018, kerajaan negeri mewartakan 16,020 hektar HSK bermula dengan 696.2 hektar dan diikuti 6,469.33 hektar pada 2019.
Menurutnya, 1,213.03 hektar pula kemudiannya diwartakan sebagai HSK pada 2020 di samping 7,641.44 hektar diwartakan pada tahun ini.
“Kerajaan negeri juga menambah keluasan kawasan hutan tadahan air. Seluas 343,503.35 hektar yang bersamaan 10 peratus daripada keluasan tanah Pahang diwartakan, sepanjang sembilan bulan 2021.
“Keputusan kerajaan negeri menambah keluasan HSK sebagai menjunjung titah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Mossy Forest@PahangGo dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ops Pamah di Hotel Zenith, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.
Wan Rosdy berkata, untuk menjaga alam sekitar dan lembangan sungai khususnya di Cameron Highlands, kerajaan negeri juga mewartakan 7.085 hektar di Kampung Raja, Mukim Ulu Telom sebagai Hutan Simpan Sungai Ikan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan mewartakan empat lagi kawasan di Mukim Ulu Telom seluas 337.625 hektar sebagai hutan simpan.
“Empat kawasan itu ialah Hutan Simpan Sungai Terla seluas 43.715 hektar, Hutan Simpan Sungai Telom (90.513 hektar), Hutan Simpan Sungai Lemoi (50.165 hektar) dan Hutan Simpan Sungai Bertam (153.232 hektar).
“Keluasan keseluruhan cadangan pewartaan hutan simpan baharu di Cameron Highlands ialah 344.71 hektar. Ini semua demi memelihara alam sekitar di kawasan tanah tinggi dan Pahang,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD