59 kes ceroboh, curi hasil hutan negeri

59 kes ceroboh, curi hasil hutan negeri

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merekodkan sekurang-kurangnya 59 kes pelbagai kesalahan membabitkan pencerobohan hutan sepanjang sembilan bulan tahun ini.

Kesalahan menceroboh hutan simpan mencatat jumlah tertinggi iaitu 45 kes, memindahkan hasil hutan tanpa permit (8), aktiviti melombong secara haram (3), industri berasaskan kayu (2) dan kesalahan kawasan lesen (1).

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, walaupun negara sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19, kegiatan menceroboh hutan simpan tetap berlaku.

“Tahun lalu, 105 kes pelbagai kesalahan hutan berjaya ditumpaskan di negeri ini hasil  kerjasama erat di antara UPK JPNP Pahang Barat dan Pahang Timur dibantu Unit Tindakan Khas PHD.

“Pembabitan masyarakat setempat yang memberikan maklumat kegiatan menyalahi undang-undang turut membantu melumpuhkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan mencuri balak juga dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini dengan pelaku memberikan pelbagai cara dan helah untuk melepaskan diri.

Nor Azirim berkata, jabatan memandang serius kegiatan memindahkan hasil hutan tanpa permit membabitkan balak, bijih besi dan emas kerana ia menyebabkan kemusnahkan hutan serta kerugian pendapatan pada kerajaan negeri.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan rintangan, tanggungjawab yang diamanahkan akan terus dipikul.

“Kejayaan membanggakan apabila kami memberkas empat individu yang aktif memindahkan balak secara haram di negeri ini, Oktober lalu. 

“Mereka sudah dihadap ke mahkamah dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313],” katanya.