Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
ROMPIN: Enam lori balak diarahkan berpatah balik ke pusat pengumpulan untuk menyusun semula kayu balak mengikut garis panduan.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dr Grippin Akeng, berkata pihaknya memeriksa 35 lori balak sepanjang dua hari operasi semakan pematuhan muatan di daerah ini dan Jerantut.
Katanya, sekatan jalan raya yang dilakukan, semalam, mengesan enam lori balak mengangkut muatan secara berbahaya dan langsung tidak mengikut garis panduan ditetapkan JPNP.
Katanya, garis panduan berkaitan muatan kayu balak setiap lori membabitkan saiz panjang dan ketinggian serta susunan.
“Peraturan bertujuan keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya lain. Oleh itu, kita minta pemandu itu pandu semula lorinya ke pusat pengumpulan dan susun semula balak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi dua hari semakan pematuhan muatan balak yang turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini, semalam.
Turut sama Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad.
Grippin berkata, hasil pemerhatian mendapati masih ada pemandu degil dan seolah-oleh sengaja enggan mematuhi garis panduan.
“Kita akan terus mengadakan operasi seluruh negeri secara berperingkat dalam memastikan pemandu lori balak dapat mematuhi peraturan,” katanya.