KUANTAN: Jika dulu, sebut saja berkhatan boleh membuatkan wajah kanak-kanak yang belum menjalaninya pucat.
Bagaimanapun keadaan jauh berbeza kini apabila golongan kanak-kanak bukan sahaja gembira, malah seolah-olah tidak sabar untuk dikhatankan.
Situasi itu boleh disaksikan pada Program Khatan Perdana ‘Sunaton’ 2022 di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Chendering, di sini hari ini.
Program julung kali anjuran Persatuan Kebajikan Al-Itqan Kuantan disertai seramai 60 kanak-kanak daerah ini yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun.
Pengerusinya Muhammad Alif Zainuddin Al Hafiz, berkata program sunaton itu dianjurkan bagi meringankan beban ibu bapa khususnya golongan kurang berkemampuan selain untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, setiap kanak-kanak yang berkhatan disediakan kain pelikat, set alat tulis dan duit raya sumbangan pelbagai pihak.
“Bagi kanak-kanak keluarga asnaf, mereka tidak dikenakan sebarang bayaran dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang).
“Kita bercadang menjadikan program sunaton sebagai acara tahunan setiap kali tiba musim cuti persekolahan,” katanya, di sini hari ini.
Program yang dirasmikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman itu, turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya. – MOHD IMRAN IZZAD.