Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
Gambar Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Seramai 600 penuntut Ijazah Sarjana Muda diterima melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan bagi Sesi 2021/2022.
Pengarah UIAM kampus Kuantan, Prof Dr Kamaruzzaman Yunus, berkata penuntut baharu yang diterima masuk melanjutkan pengajian dalam jurusan antaranya jururawat, pergigian, farmasi dan perubatan.
Beliau berkata, program kemasukan penuntut kali ini, pertama kali diadakan secara dalam talian selama seminggu mengikut peraturan yang ditetapkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita tidak berdepan masalah sepanjang proses pendaftaran secara dalam talian, kakitangan yang terbabit sudah memiliki kemahiran dan bagi pihak penuntut mereka dilihat lebih selesa.
“Selepas ini penuntut akan terus mengikuti pengajian secara dalam talian, manakala pensyarah akan menyusun jadual kuliah secara berterusan,” katanya pada Program Ta’aruf Kemasukan Pelajar Sesi 2021/2022 yang diadakan secara dalam talian, di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Program Ta’aruf, Prof Madya Dr Razman Mohd Rus, berkata program Ta’aruf atau orientasi diadakan bertujuan memperkenalkan peraturan terdapat di universiti berkenaan yang perlu diikuti penuntut.
“Ia juga bertujuan mendedahkan penuntut mengenai kelab dan organisasi yang terdapat di UIAM Kampus Kuantan serta platform digunakan pada sesi pembelajaran dan pengajaran.
“Program Ta’aruf juga bermatlamat untuk menyemai dan menerapkan semangat ‘khair’, amanah, iqra’ dan ‘rahmatan lil ‘alamin yang merupakan budaya kominiti UIAM dalam kalangan penuntut baharu,” katanya.
Penuntut, Siti Nur Shahirah Zaman Shah, 19, yang mengambil jurusan pergigian, berkata dia bersyukur berjaya diterima melanjutkan pengajian di UIAM kampus Kuantan.
“Walaupun masih belum dibenarkan menjejakan kaki ke UIAM kampus Kuantan, namun saya tetap gembira dan teruja apabila berpeluang berada di menara gading.
“Selepas selesai menjalani program Ta’aruf secara dalam talian selama hampir seminggu kini saya mula meneruskan pengajian secara dalam talian,” katanya yang berasal dari Perak.