KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melakukan pemeriksaan ke atas 66 pusat asuhan kanak-kanak di Pekan melalui Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penilaian Penyakit Berjangkit berikutan peningkatan kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD).
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kes bergejala membabitkan kanak-kanak berusia empat dan enam tahun dirujuk ke klinik berdekatan.
“Dalam operasi bersepadu membabitkan 10 pasukan dianggotai 29 pegawai dari JKNP dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan itu, beberapa isu yang boleh membawa kepada penularan penyakit berjangkit khususnya HFMD dikesan
“Antaranya, ada ibu bapa masih menghantar anak bergejala atau tidak sihat ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika).
“Selain itu, amalan kebersihan tangan dan sanitasi masih rendah. Terdapat pusat asuhan tidak menyediakan bilik isolasi dan tidak melaksanakan saringan di pintu masuk,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan beberapa aktiviti dijalankan termasuk memberi penerangan berkenaan situasi dan aktiviti pencegahan serta kawalan HFMD. – MOHD IMRAN IZZAD