669 KIR DUN Chenor terima bantuan bencana

669 KIR DUN Chenor terima bantuan bencana

MARAN: Sekurang-kurangnya 669 ketua isi rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor, di sini, yang terjejas dengan bencana banjir menerima bantuan Tabung Bencana Negara (NADMA).

Setiap KIR yang menetap di lebih 30 kampung tradisional membabitkan empat mukim di Chenor menerima bantuan RM2,500.

Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, bantuan berkenaan antara bukti keprihatinan kerajaan kepada mangsa banjir yang mengalami kerugian harta benda.

Menurutnya, bantuan yang diberikan diharap dapat meringankan beban golongan terbabit yang kebanyakan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Sebelum ini lebih 300 mangsa banjir di DUN Kuala Sentul dan DUN Luit turut menerima bantuan sama pada majlis penyampaian diadakan Dewan Arena Maran.

“Saya berharap mangsa banjir yang menerima bantuan Tabung Bencana Negara NADMA daerah ini dapat berbelanja secara berhemah, guna untuk membaiki kerosakan rumah dan membeli keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan Tabung Bencana Negara NADMA DUN Chenor di Dewan Arena Chenor, semalam, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Ishak.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, peruntukan kira-kira RM1.6 juta disediakan untuk membantu 669 mangsa banjir DUN Chenor. – MOHD IMRAN IZZADÂ