68 penyelia PDK terima ‘pembakar semangat’ one-off RM750

68 penyelia PDK terima ‘pembakar semangat’ one-off RM750

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

CAMERON HIGHLANDS: Seramai 68 penyelia Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) mendapat durian runtuh apabila masing-masing menerima bayaran sekali bayar (one-off) sebanyak RM750 daripada kerajaan negeri.

  Pemberian kali pertama disediakan itu sebagai menghargai pengorbanan golongan terbabit memulihkan dan menyediakan pendidikan serta latihan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) yang disalurkan melalui Persatuan Amal Isteri-Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI).

Naib Yang Dipertua TERATAI, Datin Sri Dato’ Khatijah Ibrahim (kanan) menyerahkan replika cek  sumbangan prihatin kerajaan negeri untuk penyelia PDK kepada Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

  Yang Dipertua TERATAI, Datin Sri Dato’ Burhah Muhammed berkata, pengorbanan  dicurahkan penyelia PDK amat besar yang tidak semua individu mampu memikulnya.

  Justeru katanya, kerajaan negeri memutuskan untuk menghadiahkan wang tunai sebagai penghargaan kepada golongan berkenaan yang memiliki semangat tinggi untuk memulihkan dan menyediakan pendidikan serta latihan kepada OKU.

  Menurutnya, sebagai Yang Dipertua TERATAI, beliau amat berbangga dengan pengorbanan dicurahkan oleh 68 penyelia PDK di negeri ini kerana mereka insan istimewa dan yang dimiliki individu tertentu sahaja.

  “Di Pahang terdapat 52

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang yang menguruskan 1,313 anak OKU dan menyediakan pekerjaan kepada 52 penyelia dan 223 petugas.

  “Baru-baru ini keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan OKU dibuktikan apabila memberi bantuan one-off sebanyak RM250 kepada setiap OKU membabitkan seramai 33,973 orang, dengan peruntukan RM8.5 juta disediakan,” katanya.

Naib Yang Dipertua TERATAI, Datin Sri Dato’ Khatijah Ibrahim (kanan) menyampaikan sumbangan prihatin kerajaan negeri kepada Penyelia PDK Tunas Sri Teruntum, Kuantan, Noraishikin Alias.

  Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Kecemerlangan PPDK TERATAI dan JKM Pahang di Casa De La Rosa hotel, di sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Yang Dipertua TERATAI, Datin Sri Dato’ Khatijah Ibrahim.

  Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang,

Dato’ Sri Ishak Muhamad dan Pengarah JKM Pahang, 

Zulkhairi Zainol Abidin.

  Burhah berkata, pihak TERATAI turut menyumbangkan RM14,600 untuk menyediakan hadiah kepada 68 penyelia PDK.

  Penyelia PDK Tunas Sri Teruntum, Kuantan, Noraishikin  Alias berkata, beliau bagi pihak penyelia PDK di negeri ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar, 

Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail yang memahami hati rakyat.

  “Pemberian wang RM750 oleh kerajaan negeri begitu bererti buat kami, ia menjadi pembakar semangat untuk kami bertugas dengan lebih bersemangat,” katanya.