Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
CAMERON HIGHLANDS: Sekurang-kurangnya 69 kampung Orang Asli di Pahang dijangka mendapat kemudahan talian Internet pada penghujung Januari 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata jangkaan itu dibuat selepas kerja projek pemasangan infrastruktur jalur lebar satelit di kawasan Kampung Orang Asli yang sudah bermula minggu ini.
“Keputusan dicapai selepas mesyuarat penyelarasan bersama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Mohd Faisal Md Nor, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang dan Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar, pada Ogos lalu.
“Peringkat pertama projek ni membabitkan kampung Orang Asli Terakit dan Rening di Hulu Telom, Cameron Highlands,” katanya, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, projek ini dikenali sebagai akses tanpa wayar jalur lebar (BWA) adalah satu daripada inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Pahang yang diusahakan Kerajaan Pahang.
“Tempoh sasaran siap projek ini dijangkakan selewat-lewatnya pada penghujung Januari 2022, tertakluk kepada proses pelaksanaan yang perlu dipatuhi,” katanya.