KUANTAN: Tujuh puluh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga B40 teruja apabila dapat merasai pengalaman berharga dengan kehidupan di kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, di sini.
Pengalaman itu diperoleh menerusi Get Ready For University Programme Gear-UP! UMP-MARA yang diadakan tiga hari, berakhir semalam.
Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pahang, Soffian Mustafa, berkata program itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta sebagai persediaan menempuh alam universiti.
“Saya harap semua peserta dapat mengambil manfaat daripada program ini untuk menempuhi alam universiti dan pekerjaan kelak,” katanya.
Lapan modul yang disediakan kepada peserta meliputi kaedah berfikir, keyakinan diri, hala tuju, pengucapan awam serta etika berkomunikasi.
Selain itu, peserta turut dibawa melihat fasiliti di UMP seperti perpustakaan dan makmal.
Peserta, Putri Qarisha Alesya Abdullah, 18, teruja apabila terpilih mengikuti program itu berkata: “UMP adalah pilihan utama saya untuk menyambung pengajian dalam bidang komputeran.” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN