72 pekebun dapat bantuan banjir

72 pekebun dapat bantuan banjir

KUANTAN: Seramai 72 pekebun di negeri ini yang terkesan dengan kejadian banjir akhir tahun lalu, menerima bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) peringkat pertama dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM429,155.

Bantuan pembangunan semula projek agromakanan itu merangkumi input pertanian, peralatan dan kerja infra.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP) Muhd Rizal Baharom, berkata bantuan berkenaan dijangka dapat diagihkan kepada pekebun pada Mei dan Jun depan.

“Antara disediakan ialah baja, benih, pam air, mesin siraman, peti sejuk, mesin tebu termasuk penyembur racun, iaitu lebih kepada apa yang diperlukan pekebun.

“Bantuan infra pula membabitkan membaiki dan membina semula sistem pengairan dalam kebun yang diharap dapat mengurangkan risiko kejadian banjir terutama pada musim tengkujuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah pekebun yang menerima bantuan pembangunan semula projek agromakanan peringkat pertama mengikut daerah ialah seramai 41 pekebun di Temerloh diikuti Raub (15),  

Lipis (14) dan Bera (dua).

“Pekebun yang terkesan disebabkan banjir membabitkan mereka yang mengusahakan tanaman buah-buahan, sayur, kontan, komoditi potensi dan usahawan industri asas tani (IAT),” katanya.

Katanya lagi, sektor pertanian tanaman agromakanan di Pahang kerugian RM13.4 juta akibat bencana banjir luar biasa akhir tahun lalu. – MOHD IMRAN IZZAD.