74 individu ditahan dalam ops samseng jalanan

74 individu ditahan dalam ops samseng jalanan

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Tujuh puluh empat individu berusia di antara 10 dan 28 tahun ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di dua lokasi berbeza di bandar ini, bermula kira-kira 2 petang hingga 10 malam tadi.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf, berkata operasi dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bersama Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang. 

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 61 lelaki dan 13 perempuan kerana pelbagai kesalahan,” katanya dalam sidang media selepas Ops Samseng Jalanan di Balai Polis Trafik Kuantan, di sini, malam tadi.

Katanya, dalam operasi terbabit, pihaknya memeriksa 50 motosikal yang diubah suai seperti menggunakan tayar kecil dan tiada nombor pendaftaran.

“Daripada jumlah itu, 20 motosikal disita kerana tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan selain turut mengeluarkan 117 saman. 

“Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah tidak memakai topi keledar iaitu 46 kes, tidak memiliki lesen (21 kes) dan ubahsuai nombor pendaftaran kenderaan (14 kes).

“Selain itu, tiga kes juga direkodkan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.

“Operasi berterusan akan terus dilakukan bersama agensi lain terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk memainkan tanggungjawab dalam memastikan anak mereka tidak mengubah suai kenderaan sehingga boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.