KUANTAN: Sebanyak 74 sekolah di Pahang dinaiki air akibat banjir yang melanda negeri ini sejak Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata sekolah terjejas membabitkan 53 sekolah rendah (SR) dan 21 menengah (SM).
“Daerah mencatatkan sekolah paling banyak terjejas adalah Kuantan iaitu 19 yang membabitkan 12 SR dan tujuh SM, diikuti Temerloh sebanyak 17 sekolah (14 SR/tiga SM); Pekan 14 sekolah (11 SR/tiga SM) dan Bentong sebanyak lapan sekolah (enam SR/dua SM).
“Turut dinaiki air, enam sekolah di Lipis (dua SR/empat SM); Bera lima seolah (empat SR/satu SM); Raub tiga SR serta Jerantut masing-masing satu SR dan SM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang selepas meninjau gotong-royong membersihkan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang turut terjejas akibat banjir minggu lalu.
Gotong-royong oleh warga UnIPSAS itu diketuai Rektornya, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Syed Ibrahim berkata, beliau turut bersedih atas kejadian banjir berkenaan yang mengakibatkan pihak universiti terpaksa menanguhkan istiadat pemyashuran Canselornya selain majlis konvokesyen.
“Tak tahu nak ucap tahniah syukur baru sahaja dinaiktaraf ke universiti penuh atau takziah akibat banjir dan terpaksa menanguhkan istiadat pemyashuran canselor universiti dan konvo.
“Sejam saya dibawa menjenguk situasi di UnIPSAS yang terkesan akibat dipenuhi air baru-baru ini. Semoga ujian ini akan menyuntik semangat kepada warga UnIPSAS untuk berbakti dan mendidik ummah,” katanya.