Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Sebanyak 75 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di Pahang sebanyak 2,554 kes setakat ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan, kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 519 kes.
“Daripada 75 kes baharu ini, sebanyak sembilan kes membabitkan Kluster Tembok Mempaga, Kluster Kampung Lebu (tiga kes), Kluster Tanjung Lumpur (empat kes), Kluster Bukit Gelugor (tiga kes), Kluster Sawmill Luit (satu kes).
“Sebanyak 36 kes dilaporkan hasil saringan kontak iaitu 34 kontak dalam Pahang dan empat kontak luar, saringan bergejala (18 kes tempatan) dan satu saringan OKT (orang kena tuduh). Hanya satu kes membabitkan bukan warganegara,” kata JKNP, hari ini.
Menurut JKNP, kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 519 kes.
“Terdapat 103 kes sembuh harian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 2,023 kes manakala jumlah kematian adalah 12 kes.
“Daerah Bentong, Kuantan dan Temerloh kekal berada dalam zon merah, Maran zon oren dan selebihnya zon kuning,” katanya.