77.9 peratus rakyat Pahang dah daftar untuk suntikan vaksin COVID-19

77.9 peratus rakyat Pahang dah daftar untuk suntikan vaksin COVID-19

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seramai 915,492 orang atau 77.9 peratus daripada 1.68 juta penduduk Pahang sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat 15 Ogos.

Menerusi statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, seramai 656,574 atau 55.84 peratus daripada penduduk negeri ini sudah menerima satu dos suntikan.

Daripada jumlah itu, seramai 403,638 atau 34.33 peratus penduduk sudah lengkap menerima dua dos suntikan.  

Menurut JKM Pahang lagi, sehingga semalam, sebanyak 1,162,465 vaksin diterima bagi kegunaan penduduk negeri ini.

Di Pahang, sebanyak 79 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka iaitu di hospital, klinik kesihatan dan dewan orang ramai.

Kerajaan Pahang meletakkan sasaran 1,231,800 rakyat mendaftar untuk mendapatkan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok.