KUANTAN: Tema baharu pelancongan Pahang iaitu ‘This Is Pahang 2022 – Unlimited’ dijangka merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata dianggarkan kira-kira lapan juta pelancong memilih Pahang sebagai destinasi pelancongan.
Katanya, pembukaan lebih banyak lokasi pelancongan turut membantu menarik kehadiran pelancong khususnya pelancong domestik ke Pahang.
“Biarpun masih ada beberapa lokasi pelancongan ditutup kesan daripada penularan wabak Covid-19 dan banjir yang melanda bulan lalu, ia diharap kembali pulih,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran This is Pahang 2022 – Unlimited di sini, malam tadi.
Pelancaran itu disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Selain itu, Majlis Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Pahang sebagai menghargai penggiat pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemandu pelancong dan pengusaha restoran, turut diadakan.
Mengulas pemilihan tema ‘This Is Pahang 2022 – Unlimited’, Mohd Sharkar berkata, `unlimited’ atau tiada had itu membawa maksud bahawa Pahang bertuah mempunyai kepelbagaian produk dari tanah tinggi ke hutan belantara, pantai dan pulau.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mengharapkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19 kembali pulih. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN