80.38 Peratus Kawasan Berpenduduk di Pahang diliputi Rangkaian 4G

80.38 Peratus Kawasan Berpenduduk di Pahang diliputi Rangkaian 4G

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN: Kebanyakan kawasan berpenduduk di Pahang telah ditingkatkan kepada liputan rangkaian 4G yang lebih laju demi memastikan rakyat mendapat akses kepada internet dengan sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sehingga kini 80.38 peratus kawasan yang berpenduduk sudah mempunyai liputan rangkaian 4G.
Katanya, Kerajaan Pahang juga merancang bagi tahun 2020 hingga 2022 capaian 4G ini akan dapat ditingkatkan sehingga ke 96.9 peratus di seluruh negeri.
“Ketika pandemik COVID-19 ini, Kerajaan Pahang memahami bahawa liputan rangkaian 2G dan 3G terutamanya di kawasan pedalaman sememangnya tidak mampu menampung penggunaan internet yang semakin meningkat.
“Ini kerana rakyat banyak melakukan urusan secara online seperti pembelajaran dalam internet, perniagaan online, e-hailing, e-govt dan maklumat penting dilakukan secara online.
“Justeru, kebanyakan kawasan di negeri Pahang telah ditingkatkan kepada rangkaian 4G yang lebih laju demi memastikan rakyat dapat akses kepada internet dengan sempurna, mendapat maklumat penting dengan segera dan dapat menjalankan perniagaan secara online dengan lebih berkesan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Pekan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkifli di Hotel Ancasa Royale. Gambar oleh Mahathir Ali/UKOMP-Pahang Media


Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Pekan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkifli, di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Haji Zahari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo Sdn Bhd, Affandi Mohd Isa.
Kehadiran SKMM dan PahangGo adalah untuk memberi penerangan dan maklumbalas daripada semua wakil kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk penghulu di Pekan tentang pencapaian, keperluan kerjasama, pembangunan serta kemajuan yang sedang dan akan dilaksanakan.
Taklimat dan maklum balas ini juga dilaksanakan oleh SKMM dan PahangGo di seluruh pejabat daerah dan tanah di negeri Pahang selepas ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha-usaha berterusan juga sedang dilaksanakan Kerajaan Pahang bersama SKMM secara berperingkat bagi memberi kemudahan liputan rangkaian 4G berkelajuan 35Mbps kepada rakyat di seluruh negeri Pahang.
“Setakat ini, di Pahang kita ada 1,827 menara telekomunikasi dan 28 menara baharu sedang dalam pembinaan. Penembusan jalur lebar pula sehingga kini sudah mencapai 101.7 peratus.
“Di Pekan pula, liputan rangkaian 4G mencapai 80.9 peratus dan menduduki tempat ke empat dalam Pahang selepas Kuantan, Temerloh dan Maran. Daerah ini juga mempunyai 136 menara telekomunikasi manakala dua menara baharu sedang dibina di Kampung Langgar dan Kampung Alor Ara dan 10 menara di DN Chini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta pelbagai pihak seperti wakil rakyat, penghulu, ketua kampung, pegawai dan kakitangan kerajaan, malah penduduk sendiri supaya dapat memaklumkan segera kepada SKMM jika di kawasan masing-masing mengalami masalah talian telekomunikasi.
“Ini bagi memastikan tindakan berterusan dengan segera dapat dilaksanakan Kerajaan Pahang bersama SKMM bagi mengatasi masalah ini. Kerjasama semua pihak amatlah diperlukan untuk kebaikan bersama,” katanya. – PAHANGMEDIA/ UKOMP