820 individu bantu Polis Pahang pada hari mengundi

820 individu bantu Polis Pahang pada hari mengundi

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 820 individu daripada pelbagai jabatan diambil bagi membantu proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kesemua mereka yang terbabit akan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, esok.

Beliau berkata, tambahan anggota itu menjadikan kekuatan keseluruhan pasukan polis Pahang melebihi 5,000 bagi membantu dan memantau proses pengundian. 

“Kita juga akan dibantu sukarelawan polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Malah, anggota yang mengundi awal juga akan ditugaskan untuk berada di lapangan iaitu di pusat undi di seluruh negeri,” katanya pada media selepas meninjau proses pengundian awal di Markas Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Bukit Galing, di sini, hari ini.

Hadir sama, Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Dato’ Hassan Basri Ahmad Safar. – NUR HANNAH KHADIJAH