85 hektar pokok Musang King di HSK Batu Talam sudah ditebang

85 hektar pokok Musang King di HSK Batu Talam sudah ditebang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

RAUB: Operasi Pamah selama seminggu sudah memusnahkan lebih 85 hektar pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini. 

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad, berkata kini hanya berbaki sebahagian kecil pokok yang belum dimusnahkan. 

RAUB..kawalan keselamatan dilakukan Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis mengawal kawasan ceroboh Hutan Simpan Batu Talam pada Operasi Pamah.

Menurutnya, hampir 100 kakitangan JPNP yang menyertai Operasi Pamah dan mereka dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan kerja menebang berterusan menggunakan mesin gergaji.

“Penebangan pokok lancar sejak Selasa lalu, terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.

RAUB..Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal kawasan ceroboh Hutan Simpan Batu Talam pada Operasi Pamah.

Beliau berkata, penebangan pokok durian Musang King dijangka siap sepenuhnya minggu depan. 

Nor Azirim berkata, kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera selepas semua pokok durian ditebang. 

Menurutnya, projek menanam pokok hutan di kawasan 101 hektar tanah yang diceroboh akan dilakukan secara gotong-royong di kalangan kakitangan JPNP. 

RAUB..Lebih 85 hektar kawasan kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam, di sini sudah ditebang dalam tempoh seminggu pada Operasi Pamah.

“Saya percaya pokok hutan yang ditanam nanti akan cepat membesar disebabkan tanah di tempat berkenaan mengandungi kandungan baja yang tinggi selain persekitaran semulajadi,” katanya.