9 jam intip, kesan, kejar pencuri tual balak

9 jam intip, kesan, kejar pencuri tual balak

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

MARAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Timur menahan dua lori balak yang membawa muatan 54 tual balak dipercayai dicuri di Jalan Kuantan-Maran, di sini, pada awal pagi ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad, berkata selepas mendapat aduan awam, pihaknya melakukan intipan di dua laluan utama di Kampung Seri Makmur dan Jalan Belimbing, pada kira-kira 10 malam tadi.

Menurutnya, selepas menunggu lebih sembilan jam, anggota penguat kuasa akhirnya mengesan dua lori kepala biru yang membawa muatan balak melalui Jalan Belimbing pada kira 5.50 pagi.

“Kita mengekorinya kira-kira 25 kilometer sebelum menahan dua lori terbabit yang kawal oleh kenderaan disyaki Tonto, di pekan Maran, pada kira-kira 6 pagi.

“Kita menahan dua pemandu serta seorang pembantu berusia 27 hingga 47 tahun berasal dari Kelantan dan Terengganu untuk di soal siasat dan diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menahan dua lori terbabit berjaya membongkar lokasi kegiatan menebang balak secara haram di Kompatmen 35 Hutan Simpan Lepar. 

Turut ditemui jengkaut yang digunakan untuk menarik dan mengangkat balak ke atas lori.

Katanya, semua balak yang cuba dipindahkan secara haram itu merupakan spesies meranti dan nilai 54 tual balak terbabit kira-kira RM30,000.