94 peratus peneroka dah terima surat hak milik 

94 peratus peneroka dah terima surat hak milik 

BERA: Sekurang-kurangnya 94 peratus daripada 43,126 peneroka di Pahang sudah menerima surat hak milik tanah masing-masing. 

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah  

itu, 1,471 peneroka mendapat hak milik mereka pada sepanjang 2022 manakala bakinya akan disegerakan.

“Ini sudah pastinya menjadi saat yang paling bermakna buat semua peneroka, setelah berpuluh tahun membanting tulang mengusahakan tanah serta menyelesaikan hutang dengan FELDA. 

“Selain pemilikan tanah untuk peneroka, kerajaan negeri juga membantu bagi menyempurnakan hak pemilikan kepada koperasi di tanah rancangan supaya mereka boleh menjana pendapatan di samping merancakkan ekonomi setempat,” katanya. 

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga mengambil inisiatif untuk membangunkan tanah tersepit (pocket land) di kawasan FELDA bagi tujuan pembinaan rumah generasi kedua. 

“Inisiatif ini bagi mempermudahkan golongan belia FELDA memiliki rumah sendiri. Bagi tujuan ini, kerajaan negeri mengambil alih daripada FELDA untuk menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) di Pahang yang terbengkalai sebelum ini,” katanya ketika berucap di Himpunan Keluarga FELDA, Teguh Bersama di Felda Mayam, pada 27 Oktober lalu.