Abang bomba pesan jangan bakar sesuka hati

Abang bomba pesan jangan bakar sesuka hati

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang kini siap sedia menghadapi kemungkinan berlaku kebakaran hutan tanah gambut berikutan keadaan cuaca panas ketika ini.

Tumpuan diberikan di kawasan belukar yang kini kering berikutan pokok mati selepas ditenggelami banjir akhir tahun lalu. 

Pengarah JBPM Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, risiko kebakaran cukup tinggi berlaku di kawasan berkenaan.

“Pokok renek termasuk lalang yang mati dan kering terlalu mudah terbakar terutama lagi dalam keadaan cuaca panas dan berangin.

“Jika tidak ditangani dengan tindakan awal, kita bimbang berlaku kebakaran membabitkan kawasan yang luas dan sukar dikawal,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang di sini, semalam.

Wan Mohammad Zaidi berkata, kebakaran boleh berlaku sekiranya ada pihak melakukan aktiviti yang boleh mencetus kebakaran, termasuk melakukan pembakaran terbuka.

“Semua peralatan termasuk pam mudah alih yang digunakan untuk memadam kebakaran hutan dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

“Kita juga menerima enam unit ‘fire pump’ daripada bomba Kuala Lumpur untuk kegunaan dalam operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut dan belukar.” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang memantau rapat beberapa lokasi di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin yang dikenal pasti sering berlaku kebakaran berdasarkan kejadian pada  tahun sebelum ini. – MOHD IMRAN IZZAD