LIPIS: Enam penduduk Kampung Lubuk Kulit yang terperangkap di rumah mereka semalaman diselamatkan oleh anggota polis Lipis, hari ini.
Mereka terperangkap berikutan banjir melimpah ke kawasan kampung sehingga menenggelami jalan ke kampung mereka.
Ketua Polis Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, polis menerima panggilan penduduk terperangkap kerana jalan dari bandar Kuala Lipis, dekat Kampung Lubuk Kulit sudah ditenggelami banjir.
“Polis dimaklumkan kawasan kediaman penduduk berkenaan sudah mula dinaiki air dan tindakan pantas menyelamat perlu dilakukan.
“Anggota polis yang bertugas dalam operasi menyelamat ini menggunakan bot gentian kaca untuk memindahkan enam penduduk berkenaan.
“Penduduk terbabit selamat dibawa keluar pada 10.30 pagi, hari ini. Urusan penempatan di pusat pemindahan sementara (PPS) dilakukan oleh pihak berkuasa pengurusan kampung,” katanya.
Katanya, mangsa yang dibawa keluar iaitu terdiri daripada warga emas lelaki, dua wanita, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki. – MUHAMMAD NAJMIE