Abdul Rahman optimis Lipis masih dalam tangan BN

Abdul Rahman optimis Lipis masih dalam tangan BN

LIPIS: Barisan Nasional (BN) dan UMNO yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen Lipis dan Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Cheka dan Benta dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keyakinan disuarakan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad yang mendakwa simulasi sebelum ini menunjukkan kecenderungan pengundi memilih BN di Lipis. 

“Selain itu, kecenderungan berasaskan maklum balas yang diberikan terhadap perkhidmatan dan kebajikan yang dihulurkan oleh kepimpinan BN di Lipis selain kerap turun padang bertemu masyarakat.

“Saya melihat gerak kerja yang ditunjukkan oleh semua lapisan kepimpinan sama ada peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pada tahap yang tertinggi. 

“Ini sekaligus menunjukkan kita bersedia mempertahankan Parlimen dan tiga DUN di Lipis,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis yang dihadiri 500 perwakilan di Wisma UMNO.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi; Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Mustapa Long; Ketua Pemuda Bahagian, Farid Mohd Nor dan barisan kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Lipis.

Abdul Rahman yang memenangi PRU14 selepas memperoleh 13,995 undi dan menang dengan majoriti 6,569. – AIN HUDA AMIR