Abot, Rambai bantu pindah dua gajah liar 

Abot, Rambai bantu pindah dua gajah liar 

KUANTAN: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang memindahkan dua gajah liar di FELDA Kota Gelanggi Tiga, Jerantut, hari ini.

Haiwan berkenaan ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang kelmarin.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata haiwan terbabit dipindahkan ke Taman Negara Terengganu.

Menurutnya, gajah betina bersama anaknya dianggarkan berusia enam bulan ditangkap dalam hutan yang terletak berhampiran dengan ladang kelapa sawit.

“Operasi memindahkan haiwan terbabit mengambil masa kira-kira lima jam, bermula 8.30 pagi. Sekurang-kurangnya 29 anggota UTK Perhilitan Pahang dan PKGK Kuala Gandah terbabit dalam operasi itu,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, gajah denak Abot dan Rambai digunakan bagi membantu melancarkan lagi operasi terbabit yang berjaya dengan cemerlang.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, pihaknya bertindak memasang mikrocip bagi tujuan mengesan pergerakan gajah liar terbabit.- MOHD IMRAN IZZAD