Abu Bakar  Mat Saad dipilih  Tokoh Guru Agama

Bekas  pengetua Kuliyyah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan  dan bekas Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Abu Bakar  Mat Saad dipilih  Tokoh Guru Agama Lelaki sempena  Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang kali ke 22 di  Sekolah Menengah Agama Al-Wosto, Temerloh.

Beliau yang bersara sejak 2019 memulakan pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR)  Darul Naim Kuala  Krau dan mendapat keputusan cemerlang  Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di Sekolah Menengah Kuala Krau. Beliau kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Al-Attas, Kuantan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika merasmikan majlis tersebut berkata,  Kerajaan negeri tekad untuk memajukan sekolah-sekolah menengah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dari semasa ke semasa supaya setanding dengan sekolah-sekolah harian biasa.

” Selain boleh menyambung pengajian di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kerajaan Pahang juga terus  berusaha dengan memperluaskan hubungan dengan negara Timur Tengah  berkaitan jumlah kuota khas untuk pelajar Pahang yang ingin  meneruskan pengajian ke negara-negara  tersebut”. katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa mengambil berat berkenaan perkembangan pendidikan Islam  di Negeri Pahang supaya terus hidup subur dan mekar.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle  Haji Ali Al-Hafiz .

Oleh: Kabhi Ismail