TEMERLOH: Acara Temerloh Muay Thai Fight 2022 yang berakhir semalam membawa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di mata dunia apabila ia ditonton hampir 100,000 peminat sukan Muay Thai dari beberapa negara menerusi siaran langsung di media sosial sepanjang dua hari penganjurannya.
Difahamkan, siaran langsung acara itu mendapat sambutan antaranya di negara Kemboja, Maghribi, Iran dan Laos.
Sambutan masyarakat setempat juga tidak kurang hebatnya apabila kira-kira 5,000 penonton memenuhi kawasan acara berlamgsung di Padang Bola Ketumbit, Kerdau di sini.
Penganjuran itu turut mendapat pujian Ahli DUN (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang hadir menyaksikan dan merasmikan penutupan acara, semalam.
“Terima kasih kepada penganjur, atlet Muay Thai dan hadirin yang datang menonton dan memeriahkan program ini dengan penuh semangat kesukanan.
“Mungkin acara ini akan dijadikan acara tahunan yang dapat mempromosikan DUN Kerdau dan Temerloh kepada pelancong luar,” katanya ketika merasmikan malam penutup acara berkenaan, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon dan pelakon veteran, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Daud.
Temerloh Muay Thai Fight 2022 yang dianjurkan oleh Aymas Pallas Muay Thai Gym dan Kelab Malaysia 999 cawangan Tawan, turut disertai bintang Muay Thai handalan dari luar negara. – HELMY ABD RAHMAN