Ada 80 foto lama Mat Kilau di SK Padang Garuda

Ada 80 foto lama Mat Kilau di SK Padang Garuda

KUANTAN: Galeri Mat Kilau di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garuda, di sini, kini menjadi antara tempat rujukan pencinta sejarah pahlawan Mat Kilau.

Guru Besar SK Padang Garuda, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56 berkata, galeri yang dibuka sejak enam tahun lalu menyimpan lebih 80 gambar yang memaparkan cerita Mat Kilau ketika hayatnya bersama keluarga, rakan seperjuangan dan masyarakat setempat.

Menurutnya, beberapa keris, busana, tanjak dan senjata Melayu turut dipamerkan bagi memberi lebih keceriaan kepada pengunjung.

“Kita menerima pelawat daripada dalam dan luar Pahang yang datang untuk melihat sendiri galeri Mat Kilau yang dibangunkan dengan kerjasama guru SK Padang Garuda.

“Lukisan Mat Kilau juga terdapat pada dinding sekolah yang menjadi sebahagian daripada galeri Mat Kilau,” katanya yang juga cucu pahlawan berkenaan.

Beliau berkata, dirinya dan guru SK Padang Garuda berbangga dapat menyediakan galeri berkenaan yang akan menjadi rujukan pada generasi muda yang ingin mendapat cerita sebenar pahlawan Pahang itu. – MOHD IMRAN IZZAD.