Ada ke sesiapa nak jual Patin Muncung? Jabatan nak buat induk

Ada ke sesiapa nak jual Patin Muncung? Jabatan nak buat induk

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang sedia membeli Patin Muncung hidup untuk dijadikan induk dengan harga lebih tinggi berbanding harga semasa pasaran.

Harga semasa spesies berkenaan yang semakin sukar ditemui di negeri ini mencecah RM500 sekilogram.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok (PPAP), di Jerantut, berusaha untuk mendapatkan ikan spesies berkenaan bagi dijadikan induk namun tidak berjaya.

“Jalan terakhir yang kita lakukan kini ialah dengan menawarkan harga lebih tinggi berbanding harga semasa pasaran dan diharapkan usaha itu akan berhasil.

“Saya merayu kepada nelayan darat di beberapa daerah di negeri ini seperti Jerantut, Lipis, Temerloh, Bera dan Raub supaya dapat menjual Patin Muncung hidup kepada jabatan sekiranya mereka berjaya menangkap ikan itu.

“Kerjasama daripada nelayan darat sahaja dapat membantu jabatan menghasilkan benih ikan spesies berkenaan yang kini hampir pupus,” katanya, di sini semalam.

Katanya, beliau yakin sekiranya PPAP mempunyai induk Patin Muncung tidak mustahil jumlah ikan spesies itu kembali banyak di beberapa sungai utama di negeri ini.

Abdullah berkata, boleh dikatakan masa depan Patin Muncung kini bergantung sepenuhnya daripada nelayan darat. – MOHD IMRAN IZZAD