KUALA LUMPUR: Tidak timbul soal pindaan perlembagaan bagi membolehkan jawatan tertinggi di dalam parti tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO kali ini.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata isu itu mungkin dibawa mereka yang bukan daripada kalangan parti atau mereka yang berada di dalam UMNO namun pada masa yang sama menyokong Perikatan Nasional (PN).
“Tidak ada apa-apa perancangan untuk pinda perlembagaan bagi membolehkan kedua-dua jawatan tidak dipertandingkan.
“Sebab itu, di Negeri Sembilan dan sebelum itu di Kedah dan Pulau Pinang apabila ada persoalan ini ditimbulkan, saya katakan perkara ini mungkin dibawa oleh orang bukan dalam UMNO atau puak dalam UMNO yang menyokong PN.
“Sebabnya kita tidak bawa isu ini. Tapi, isu ini dibawa untuk mengeruhkan keadaan sebab UMNO ini parti akar umbi dan mereka tahu kalau kita buat begitu akar umbi akan marah. Apa pun UMNO ini parti demokratik.
“Tidak ada parti lain yang mana jawatan presiden dipertandingkan. Pada 2018, jawatan itu dipertandingkan. Pas tidak ada pertandingan dan begitu juga parti lain.
“Sebab itu saya katakan tidak ada apa-apa perancangan untuk pinda perlembagaan dan saya dah buat kenyataan dua kali mengenai perkara ini dan Setiausaha Agung pun dah buat kenyataan soal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan dan dialog bersama warga media, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memahami beberapa pandangan yang dilontarkan oleh pimpinan bawahan berkaitan pemilihan di dalam UMNO kali ini.
“Ada juga kenyataan dan mencadangkan jawatan berkenaan tidak dipertandingkan seperti kenyataan Dato’ Nur Jazlan.
“Saya faham kenapa beliau katakan begitu. Sebabnya ada pihak berkepentingan dari luar yang mahu menghuru-harakan UMNO,” katanya. – UMNO Online