KUANTAN: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Peribahasa itu tepat menggambarkan liku hidup terpaksa ditempuh seorang ibu tunggal, Norakhza Razali, 36, yang bukan sahaja mengidap penyakit tulang reput, malah menanggung derita akibat masalah buah pinggang iaitu Renal tubular acidosis (RTA).
Dalam keadaan begitu, mana mungkin dia mampu bekerja, namun pada masa sama dia menanggung seorang anak yang masih bersekolah dan abang kandung yang juga orang kurang upaya (OKU).
“Saya mengidap RTA (buah pinggang tidak dapat mengasingkan asid dari darah ke saluran kencing) sejak berusia 13 tahun lagi dan kini juga menanggung penyakit tulang reput.
“Tambah perit apabila elaun arwah suami dikatakan terlebih bayar sebelum ini dan saya terpaksa menggantikan jumlah yang terlebih bayar itu sebanyak RM2,000,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Razali di sini, hari ini.
Keperitan hidup Norakhza bagaimanapun sedikit terubat apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sudi memberi bantuan bagi meringankan bebannya.
Mulai bulan ini JKM menambah jumlah pemberian zakat menjadikan keseluruhannya sebanyak RM300 sebulan untuknya, manakala Muip pula menghulurkan sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM1,500 selain baucer makanan sebanyak RM200 sebulan.
“Sejak setahun lalu, JKM ada beri RM250 sebulan dan bila dengar mereka sanggup naikkan kepada RM300, saya berasa amat lega dan bersyukur.
“Saya juga nak ucapkan berbanyak terima kasih kepada YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) dan Kerajaan Pahang serta semua yang sudi menghulurkan bantuan. Semoga semuanya murah rezeki,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata YAB Menteri Besar juga bersetuju memberikan sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM1,000 kepada Norakhza.
“Badan Pehubungan Umno Negeri juga akan berusaha menyelesaikan isu bayaran elaun arwah suaminya yang dikatakan terlebih bayar itu,” katanya yang sempat melawat Norakhza, hari ini.
Turut sama dalam lawatan itu, Ketua Umno Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Nazahar; Pengarah Sirim Pahang, Mazlina Manshor dan beberapa pemimpin setempat. – HELMY ABD RAHMAN
Ends/tony