KUANTAN: Seramai 238,000 murid dan pelajar daripada 150,000 keluarga di negeri ini memperoleh manfaat menerusi Pahang Pride Student, iaitu program bantuan untuk persekolahan mereka.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Soffi Abdul Razak, berkata kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM5 juta bagi menjayakan program berkenaan.
Katanya, ia merangkumi pemberian RM100 kepada murid dan pelajar kategori miskin serta miskin tegar untuk pembelian set alat keperluan persekolahan.
“Saya difahamkan, ibu bapa sudahpun diberikan borang tempahan untuk mereka memilih sendiri set alat keperluan persekolahan ini yang dibuat melalui Pejabat Pendidikan Daerah.
“Set ini antaranya mengandungi beg sekolah, buku, alat tulis, kamus, Iqra bagi pelajar beragama Islam, kalkulator bagi pelajar sekolah menengah dan pelbagai peralatan lain,” katanya yang mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis pelancaran program berkenaan di kedai buku MBS World di sini, hari ini.
Menurutnya, program Pahang Pride Student juga membabitkan pemberian kad diskaun 20 peratus kepada ketua isi rumah kategori B40 dan M40 untuk membeli barangan persekolahan di MBS Book and Stationaries.
“Saya difahamkan, kedai buku ini terdapat di seluruh Pahang kecuali Bentong, Raub, Kuala Lipis dan Cameron Highlands. Justeru, saya mengarahkan MBS Book and Stationarie membuat Ekspo Jualan Buku di Bentong, Raub, Lipis dan Cameron Highlands dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, kad diskaun itu boleh digunakan sepanjang tahun dan bukannya tertakluk kepada musim kembali ke sekolah sahaja.
“Selain mendapat kad diskaun, pelajar kategori miskin dan miskin tegar juga menerima set persekolahan yang akan diberikan sebelum sesi persekolahan 2022 bermula pada 20 Mac 2022.
“Kerajaan negeri amat memahami ramai ibu bapa yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19. Malah, sebilangan besar juga masih dibelenggu kerugian akibat bencana besar banjir baru-baru ini,” katanya.
Bagi Theah Gaik Thoo, 46, dia berasa lega apabila mendapat tahu anaknya, Eng Kia Yee, 12, yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Ching, Air Putih di sini, layak menerima bantuan Pahang Pride Student.
“Bantuan ini amat bermakna untuk kami, apatah lagi saya hanya bekerja sebagai pengasuh. Terima kasih Kerajaan Pahang, terima kasih MB (Menteri Besar),” katanya. – HELMY ABD RAHMAN